MELAKA – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) mahu menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diperkenalkan di negara ini pada tahun lalu untuk membantu mengembangkan potensi pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, melalui usaha tersebut, ia akan membawa PKS ke peringkat global sekali gus terlibat secara aktif dalam rantaian penawaran antarabangsa.
“Kita melihat potensi besar sektor e-dagang ini di masa depan memandangkan kerajaan telah meletakkan sasaran peningkatan kepada 10,000 syarikat menyertai platform berkenaan menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Wacana Keusahawanan Bajet 2018 ‘Apa Kita Dapat?’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini semalam.
Menurut Mohd. Ali, penglibatan PUNB itu juga sejajar dengan saranan kerajaan yang menyasarkan Malaysia menjadi ekonomi termaju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan nilai dagangan semasa berkembang kepada RM2 trilion pada 2025.
“Ini seterusnya membolehkan negara menikmati impak manfaat Revolusi Industri Keempat (IR4.0) secara ketara menjelang 2030,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 1,000 peserta menyertai wacana keusahawanan tersebut.
Tambah Mohd. Ali, ia merupakan salah satu usaha berterusan PUNB untuk memperkasakan kemahiran keusahawanan dalam kalangan masyarakat dengan melahirkan komuniti usahawan berpengetahuan, berwibawa dan berintegriti.
“Program julung kali dianjurkan ini juga memberi peluang kepada usahawan mendapatkan maklumat dan menjalin kerjasama pintar dari aspek perundingan, perkongsian maklumat, geran, latihan dan teknologi yang boleh dimanfaatkan,” tambahnya.










