MOSCOW 12 Feb. – Juruterbang pesawat Antonov An-148 milik Saratov Airlines yang terhempas sehingga mengakibatkan kesemua 71 penumpang dan anak kapal terbunuh, merancang melakukan pendaratan cemas selepas menghubungi menara kawalan bagi memaklumkan masalah teknikal dialami kapal terbang itu.
Russia Today yang memetik sumber melaporkan, juruterbang berkenaan bercadang melakukan pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang di Zhukovsky.
Malangnya, pesawat itu tidak sempat mendarat dan terhempas di pinggir Moscow.
Pasukan penyelamat telah menemukan kotak hitam milik pesawat tersebut di lokasi kejadian dan setakat ini, kira-kira 50 mayat mangsa sudah ditemukan.
Menurut Menteri Kecemasan Rusia, Sergey Poletykin, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan dengan kawasan nahas kini dipantau sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
Lampu dipasang di kawasan nahas bagi membolehkan pasukan keselamatan melakukan operasi mengeluarkan mayat mangsa.
Wartawan Russia Today, Murad Gazdiev yang berada di lokasi kejadian memberitahu, pihak berkuasa tidak membenarkan mana-mana pihak yang tidak berkenaan memasuki kawasan nahas itu untuk mengelak gangguan terhadap penyiasatan yang dijalankan.
“Terdapat banyak ambulans dan jentera bomba di kawasan kejadian, selain saya turut dimaklumkan oleh anggota keselamatan bahawa peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup adalah amat tipis.
“Pasukan keselamatan tiba di lokasi nahas sebaik dimaklumkan oleh penduduk tempatan dengan serpihan bangkai pesawat bertaburan ke kawasan sehingga satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Seorang ejen saham, Maksim Kolomeitsev menarik nafas lega kerana terselamat daripada menjadi mangsa nahas tersebut selepas membatalkan tiket penerbangan kerana masalah yang tidak dapat dielak.
Beliau dijangka menaiki pesawat itu untuk pulang ke rumah bagi meraikan sambutan hari jadinya bersama-sama keluarga.
Sementara itu, dunia melahirkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku dan pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah mereka.
Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri, Dmitry Medvedev menyatakan rasa sedih terhadap kejadian yang berlaku dan mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung di seluruh negara.
Kebanyakan negara dunia termasuk Amerika Syarikat, Mesir, Perancis dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres merakamkan ucapan takziah kepada Rusia dan keluarga mangsa nahas tersebut.











