KUALA LUMPUR 12 Feb. – Setiap majikan perlu diwajibkan menjalani pemeriksaan serta kursus psikologi sebelum menggaji pembantu rumah bagi mengelakkan kes eksploitasi berlaku.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon berkata, inisiatif itu mampu mengelakkan kes penderaan pembantu rumah sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa berlaku seperti di Pulau Pinang, semalam.
“Selain daripada saringan tangga gaji, pemeriksaan kesihatan amat penting dilakukan terhadap majikan sekiranya mereka mahu menggaji pembantu rumah.
“Jika majikan tersebut gagal melepasi kriteria yang ditetapkan terutamanya dari segi kesihatan mental, pihak berkenaan perlu menyenarai hitam mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian dera berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu agensi khas untuk memantau keadaan pembantu rumah dan memastikan mereka berada dalam keadaan baik tanpa ditindas oleh majikan.
Katanya, pemantauan itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali dan ia membolehkan sebarang konflik antara majikan dengan pembantu rumah dapat diselesaikan oleh orang tengah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo berkata, setiap agensi yang menguruskan pembantu rumah perlu melakukan pemantauan di rumah majikan mereka bagi memastikan tiada sebarang kes dera berlaku.
Katanya, pemantauan kebajikan pembantu rumah di tempat kerja oleh majikan masih belum diwajibkan setakat ini.











