SAYA mewakili penduduk Kajang mahu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan ke atas Indah Water Konsortium (IWK) yang menjalankan kerja-kerja menaik taraf pembetungan dalam kawasan pentadbiran mereka.
Setakat pengetahuan saya, IWK telah memulakan projek pembetungan mereka tahun lalu di bawah jalan-jalan awam, namun statusnya kini tidak diketahui – umpama projek terbengkalai dengan blok-blok batu dikepung di sekeliling lubang saluran pembetung yang terbabit dengan kerja-kerja pembinaan.
Kepungan blok-blok batu itu menyempitkan laluan, sekali gus mengganggu kelancaran lalu lintas khususnya pada waktu-waktu puncak.
Saya mohon IWK supaya lebih bertanggungjawab menyelesaikan projek mereka dengan segera dan mengalihkan semula blok-blok batu di lubang ke saluran pembetungan ini secepat mungkin jika ia telah disiapkan.
Pada masa sama, MPKj patut memantau kerja-kerja IWK dan memberi mereka satu tempoh masa supaya projek itu diselesaikan atau jika tidak berdepan tindakan. Kita bukan tidak menyokong projek ini tetapi ia seakan-akan terbengkalai dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Selain itu, jalan diturap akibat pemendapan yang berlaku juga dilihat tidak sempurna dan beralun-alun. Saya mohon supaya projek itu disiapkan segera kerana ia mengganggu penduduk setempat seolah-olah untuk satu tempoh masa yang tidak diketahui lamanya.
AHMAD YUNUS
Jenaris










