SHAH ALAM 12 Feb. – Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memperlekehkan usaha mendapatkan kembali Stadium Shah Alam untuk dijadikan gelanggang Red Giants sebagai penghinaan kepada peminat pasukan Selangor.
Jurucakapnya, Mohamad Firdaus Abdul Mutalib berkata, sebagai Menteri Besar yang seharusnya membantu memajukan bola sepak negeri, Mohamed Azmin patut berasa malu dengan kenyataan tidak masuk akal hanya kerana dendam politik peribadi dengan kepemimpinan tertentu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Saya nak beritahu Menteri Besar kalau-kalau beliau lupa, yang kami penyokong Selangor minta ini bukan stadium baharu, yang kami minta ini Stadium Shah Alam yang sudah terpacak sejak 1994 lagi dan sudah menjadi gelanggang keramat buat Red Giants sekian lama tetapi tiba-tiba dinafikan kerana politik.
“Menjadikan Iraq dan padang pasir sebagai perbandingan ini pada saya satu penghinaan besar kepada penyokong Selangor dan ia jelas memperlihatkan betapa Menteri Besar gagal memahami kehendak sebenar peminat bola sepak Selangor,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Mohamed Azmin seolah-olah memberi bayangan beliau tidak berminat untuk melayan desakan peminat Selangor yang menuntut agar Stadium Shah Alam kembali dijadikan gelanggang tuan rumah buat Red Giants meskipun memorandum mengandungi 15,000 tandatangan telah dihantar kepada kerajaan negeri.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Iraq itu tiada padang bola pun, (tapi) boleh main dekat padang pasir,”.
Kenyataan tersebut turut mengundang rasa kecewa pasukan Selangor apabila pengurusnya, Datuk Abdul Rauf berkata, beliau merasa malu untuk mengulas kenyataan di buat Mohamed Azmin dan tidak menyangka, seorang Menteri Besar boleh menuturkan kata-kata sedemikian.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Firdaus memberitahu, pertemuan enam mata bagi menyelesaikan segala kemelut berkaitan Stadium Shah Alam yang sepatutnya berlangsung hari ini juga tidak menjadi kenyataan ekoran sikap negatif kerajaan negeri.
“Seluruh Selangor sudah maklum bahawa hari ini sepatutnya diadakan mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian tetapi pihak Exco Sukan negeri walaupun sudah tahu mengenai perkara ini, memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang surat dalam bentuk hitam putih,” ujarnya.











