TANJONG KARANG 11 Feb. – Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Itu nasib 21 peneroka Ladang Hopeful di Bestari Jaya selepas kebun kelapa sawit seluas kira-kira 17 hektar yang diusahakan sejak 32 tahun lalu dijual kepada syarikat swasta tanpa pengetahuan mereka.
Akibatnya, kumpulan peneroka itu hilang mata pencarian dan lebih menyedihkan, nasib mereka langsung tidak dipedulikan, jauh sekali diberi pembelaan.
Semuanya bermula pada 2013 apabila status kaveat yang menghalang tanah itu daripada dijual, digadai, disewa atau dipindah milik telah ditarik balik Kerajaan PKR Selangor sehingga membolehkan ladang berkenaan dijual secara senyap-senyap kepada sebuah syarikat swasta.
Sudahlah peneroka langsung tidak dibawa berbincang, keperitan dan air mata mereka juga tidak diendahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membisu seribu bahasa sehingga kini.
Rayuan belas ihsan supaya diberikan pampasan setimpal atau digantikan dengan tanah lain bagi membolehkan mereka memulakan hidup baharu demi sesuap nasi juga tidak dipedulikan.
Puas mereka turun naik ke Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor dan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi semuanya sekadar janji tinggal janji.
Kini, ladang yang diusahakan dengan titik peluh sejak 32 tahun lalu telah digondolkan hingga tiada sebatang pun pokok kelapa sawit ditinggalkan, menyebabkan sudah hampir dua bulan kumpulan 21 peneroka itu hilang mata pencarian.
Lebih menyayat hati, rata-rata para peneroka tersebut sudah dimamah usia, tapi demi mengisi perut keluarga sementara nyawa masih ada, mereka terpaksa juga mencari kerja dengan menjaja.
Kepada Utusan Malaysia yang pergi membuat tinjauan semula ke kawasan berkenaan semalam, kumpulan peneroka itu menitiskan air mata kerana mereka berasakan sudah hilang segala-galanya.
“Bantulah kami tuan, ladang ini hasil titik peluh kami, kami yang buka daripada hutan belantara, tetapi kenapa begini layanan mereka (kerajaan negeri) berikan, kami hanya mahu hak kami.
“Mengapa orang luar pula yang meraih untung atas penderitaan kami,” luah salah seorang peneroka, Jaafar Abd. Aziz, 55, dengan linangan air mata.










