Pelopor bidang ekonomi dinobat Profesor Ulung Negara 2017 - Utusan Malaysia

Pelopor bidang ekonomi dinobat Profesor Ulung Negara 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 12 Feb. – Pelopor bidang ekonomi, Profesor Dr. Rajah Rasiah dari Universiti Malaya (UM) hari ini dinobatkan sebagai Profesor Ulung Negara 2017.

Penganugerahan itu menjadikan Rajah tokoh akademik kelima dilantik Profesor Ulung Negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ketika berucap pada majlis penganugerahan tersebut berkata, pelantikan Profesor Ulung merupakan manifestasi serta testimoni kepada peranan utama institusi intelektual dalam menawarkan sumbangan kepakaran masing-masing demi kesejahteraan hidup masyarakat.

Bagi tujuan memanfaatkan lonjakan akademik yang dimiliki Profesor Ulung, beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan dana berbentuk geran penyelidikan bernilai RM300,000 kepada penerima anugerah tersebut.

“Dengan adanya geran penyelidikan ini, saya yakin Profesor Ulung boleh merancang penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi dan dalam masa sama menggalakkan serta menginstitusikan idea bakat-bakat muda yang berpotensi untuk menyumbang dengan aktif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Profesor Ulung Tahun 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, beliau berharap Profesor Ulung dapat membantu kementerian dalam persediaan menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0.

Rajah bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos kerana hasil penyelidikan ekonomi beliau dapat dilihat dengan nyata pada penerbitan polisi-polisi kerajaan seperti Industrial Policy of Timor Leste, Envisioning Malaysia in 2050 dan Research and Development (R&D) Trends Report of MASTIC. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×