KUALA LUMPUR 11 Feb. – Kira-kira 3,000 penduduk di kawasan Parlimen Wangsa Maju diraikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan sempena Sambutan Tahun Baru Cina, hari ini.
Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK
Majlis anjuran UMNO Bahagian Wangsa Maju itu diadakan di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana, di sini.
Hadir sama adalah Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju merangkap Pengerusi Uda Holdings Berhad (UDA), Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah.
Pada majlis tersebut, Mohd. Shafei turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan sekotak limau Mandarin kepada setiap penduduk yang hadir.
Mohd Shafei berkata, sumbangan itu sekali gus membuktikan keprihatinan pihak Barisan Nasional (BN) terhadap rakyatnya dengan memberi sumbangan tanpa mengira kaum.
“Di bahagian Wangsa Maju ini, kita menyambut semua perayaan termasuklah Deepavali, Ponggal dan Sambutan Tahun Baru Cina.
“Jadi, perkara ini secara tidak langsung memberitahu bahawa pemimpin BN di kawasan ini tetap menghormati budaya semua kaum,” katanya ketika ditemui selepas memberi ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina. – UTUSAN ONLINE










