TAPAH 11 Feb. – Semua pemimpin koperasi perlu memikirkan strategi baharu untuk meningkatkan lagi peranan dan sumbangan koperasi kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, antara strategi yang perlu diperhalusi ialah koperasi mesti berani untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi.
“Langkah ini merupakan satu-satunya jalan yang membolehkan kita membuktikan bahawa gerakan koperasi mampu memainkan peranan, bukan sahaja dengan memberikan faedah kepada ahli-ahlinya tetapi juga membantu kerajaan dan negara dalam pembangunan ekonomi.
“Hal ini sejajar dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada gerakan koperasi sebagai sektor ketiga dalam membangunkan ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke tapak penternakan udang putih baka Amerika Selatan seluas 0.4 hektar yang mengguna pakai teknologi litar lumba, milik Koperasi Pelaburan Pembangunan Hartanah (KPPH) Perak Berhad dekat Temoh hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif KPPH Perak Berhad, Saifol Bahri Samsudin.
Projek penternakan udang secara organik itu yang bermula sejak tahun 2016, kini memasuki penuaian hasil kelima selepas hidupan itu dibiakkan dalam tempoh 80 hari dengan 18 tan udang boleh dihasilkan dalam masa setahun di sini. – UTUSAN ONLINE









