MANILA – Kerajaan Filipina menyediakan penerbangan khas untuk membawa pulang seorang pekerja negara itu yang ditemui mati dibunuh serta disimpan dalam peti sejuk di Kuwait.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelihatan sugul ketika mengadakan sidang akhbar sambil menunjukkan beberapa gambar mayat mangsa yang ditemui dalam peti sejuk di sebuah apartmen terbengkalai di Kuwait.
Beliau merayu kepada negara berkenaan supaya menjalankan siasatan terperinci kes pembunuhan wanita berkenaan.
“Saya membuat rayuan kepada kesemua rakyat Arab, rakyat Filipina bukan hamba kepada sesiapa walau di mana sahaja mereka berada.
“Jangan hantar pulang rakyat kami dalam keadaan mayat yang cacat atau mengalami kecederaan teruk. Apa yang kamu lakukan kepada rakyat saya?
“Jika, saya melakukan perbuatan ini kepada rakyat anda, adakah anda gembira?” katanya.
Duterte telah menggantungkan penghantaran rakyat Filipina untuk bekerja di Kuwait dalam satu pengumuman pada Januari lalu selepas satu siri kematian pekerja tersebut. – Reuters











