LABUAN 10 Feb. – Projek Litar Permotoran Antarabangsa Labuan (LPAL) bakal menjadi kenyataan apabila Majlis pecah tanah bagi fasa satu pembinaannya disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di sini, hari ini.
Ia selaras dengan perancangan dalam Labuan Blue Print 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 18 Januari lalu.
Tengku Adnan berkata, peruntukan awal sebanyak RM3 juta diluluskan kerajaan melalui unit penyelarasan pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) membolehkan pembinaan projek yang bakal menjadi mercu tanda baharu Labuan itu dilaksanakan.
Menurutnya, tanah seluas 4.8 hektar yang diberikan Perbadanan Labuan untuk tujuan pembinaan projek itu juga membantu melancarkan lagi hasrat kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Semua urusan tanah, reka bentuk litar serta peruntukan kewangan dari kerajaan pusat telah berjaya diselesaikan. Diharapkan baki RM4 juta dapat diteruskan pada tahun berikutnya dan semua pihak termasuk Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan dapat bekerjasama memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
“Setelah pembinaan ini siap sepenuhnya, ia mampu menjadi daya tarikan salah satu produk pelancongan selain dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti permotoran seperti sukan permotoran superbikes, go kart, drif, mini grand prix, pocket bike, super moto dan cubprix,” katanya.
Litar Permotoran Antarabangsa Labuan bernilai RM7 juta diilhamkan hasil cetusan idea kepimpinan Pemuda UMNO Labuan yang melihat potensi untuk mengetengahkan acara sukan berkenaan.
Projek pertama di Labuan itu bakal mempunyai sebuah litar sepanjang satu kilometer, my laps timing system, dewan serbaguna, kafe, menara kawalan perlumbaan, ruang rawatan, podium paddock/pit, surau dan ruang penonton. – UTUSAN ONLINE
HABIS//










