BATU PAHAT 10 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis meluangkan masa melawat Senator Rahemah Idris di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, di sini sebentar tadi.
Rahemah, 59, yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Ayer Hitam sejak tahun 2004 dikejarkan ke HSNI awal pagi semalam kerana diserang angin ahmar.
Beliau yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak Disember 2016 kini dalam keadaan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.
Ahmad Zahid dan isteri meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat dan bertanya khabar Rahemah selain memberi kata-kata semangat kepadanya.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang. – UTUSAN ONLINE.










