SHAH ALAM 9 Feb. – Isu Stadium Shah Alam yang menjadi pertikaian dan luahan kekecewaan penyokong Selangor ekoran tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan The Red Giants untuk bermain di gelanggang keramat itu bukan sahaja tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian tetapi dilihat semakin kalut.
![]() |
|
MOHAMAD FIRDAUS ABDUL MUTALIB
|
Ini berikutan perkembangan terbaharu yang memperlihatkan kenyataan bercanggah antara kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai tarikh pertemuan serta senarai wakil yang akan terlibat.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga dikhabarkan menetapkan syarat iaitu individu tertentu sahaja boleh menghadiri pertemuan tersebut dan nama Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal dikatakan tiada dalam senarai berkenaan.
Di pihak BBPS, jurucakapnya Mohamad Firdaus Abdul Mutalib memberitahu, buat masa ini mereka menangguhkan niat untuk membawa isu berkenaan kepada pihak istana Selangor selepas kerajaan negeri dikatakan telah bersetuju untuk menjayakan sesi pertemuan enam mata pada Isnin depan bagi membincangkan masalah itu.
“Surat tak jadi hantar (kepada pihak istana) sebab kerajaan negeri dah setuju nak bertemu dengan FAS 12 Februari ini. Cuma kerajaan negeri nak FAS diwakili tiga orang sahaja iaitu Naib Presiden, Datuk Rauf Ahmad dan K. Palanisamy serta Ahli Jawatankuasa, Nazzab Hidzan,” katanya menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rauf ketika dihubungi pula berkata, pihaknya berharap tiada sekatan untuk Subahan terlibat dalam mesyuarat dengan kerajaan negeri kerana beliau adalah Presiden FAS yang dipilih secara sah.
“Presiden dilantik oleh badan gabungan maka beliau berhak untuk mewakili FAS. Mandat yang diberi oleh ahli (kepada Subahan) sebagai Presiden perlulah dihormati dan pertemuan tersebut memerlukan keputusan terus daripada beliau.
“Pihak FAS sedia berunding dengan Kerajaan Negeri Selangor demi kebajikan peminat yang bersusah payah ke Stadium Cheras dan mengharungi kesesakan lalulintas serta disaman kerana meletakkan kereta di tepi jalan,” katanya.
Bagaimanapun lain pula nada yang disuarakan Exco Sukan negeri, Amirudin Shari apabila beliau berkata, walaupun pihak BBPS menyatakan akan berlaku pertemuan antara kerajaan negeri dan FAS tetapi tarikh pada Isnin itu masih belum disahkan.
“Kami memang ingin mengadakan pertemuan dengan pihak FAS tetapi soal tarikh dan dengan siapa pihak kami akan bertemu belum dapat ditentukan.
“Walaupun ada pertemuan nanti, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, untuk menyelesaikan isu stadium ini memerlukan masa sekurang-kurangnya hingga ke pusingan kedua musim,” katanya.











