2 pendaki ditemu setelah sesat 65 jam - Utusan Malaysia

2 pendaki ditemu setelah sesat 65 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 8 Feb. – Selepas lebih 65 jam sesat di Hutan Lipur Gunung Pulai, Kulai sejak Isnin lalu, dua warga Singapura ak­hirnya ditemukan dalam ke­adaan selamat di tasik empangan Ulu Choh, Pontian hari ini.

Kedua-dua mangsa, Domi­nick Tan Chang Xiang, 27, dan Lum Jie, 27, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.24 pagi, kira-kira 50 kilometer dari lokasi terakhir­nya dikesan membuat panggilan kecemasan 999.

Komander Operasi serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd. Khairi S. Zainudin berkata, kedua-dua mangsa berjaya ditemukan menerusi tinjauan udara menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi menerusi udara dimulakan pukul 10 pagi ini dan sebaik melintasi empangan itu, kedua-dua mangsa telah turun ke dalam tasik untuk menarik perhatian pasukan SAR.

“Kedua-dua mangsa kemudian diselamatkan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) sebelum dihantar ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar kelmarin melaporkan kedua-dua mangsa mula mendaki hutan lipur berkenaan pukul 12.05 tengah hari Isnin lalu sebelum mangsa dilaporkan membuat panggilan kecemasan 999 pada pukul 5.55 petang, hari yang sama.

Kedua-dua mangsa dipercayai tidak mengikuti laluan pendakian sejauh tiga kilometer yang biasa digunakan pendaki hingga menyebabkan mereka tersesat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×