KUALA LUMPUR 8 Feb. – QES Group Bhd (QES), pembuat perkakasan pengukuran, pengujian dan pemeriksaan mengunjurkan sebanyak RM28.82 juta akan dapat dijana daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Presiden dan Pengarah Urusan QES, Chew Ne Weng berkata, IPO itu akan terus memperkukuh kedudukan kewangan syarikat dalam usaha mencapai fasa baharu pertumbuhan.
Katanya, QES merancang untuk menggunakan sebanyak 37 peratus bersamaan RM10.72 juta daripada hasil penyenaraian itu sebagai perbelanjaan modal (capex).
“Di bawah capex ini, kami mahu membeli peralatan demonstrasi bagi divisyen pengedaran, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menambah baik peralatan teknologi maklumat untuk kegunaan operasi,” katanya dalam majlis pelancaran prospektus QES di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









