SHAH ALAM 7 Feb. – Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan 109,000 buah kenderaan tahun ini, termasuk dengan pengenalan model terbaharu model Odyssey.
Video Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
Tahun lepas, Honda Malaysia mencatatkan jualan sebanyak 109,511 buah kenderaan, satu rekod tertinggi sejak ia ditubuhkan pada 2003 untuk kekal sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, mereka juga kekal optimis untuk terus menjadi pendahulu industri automatif di negara ini bagi 2018.
“Sasaran 109,000 buah untuk 2018 mewakili 18 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 600,000 buah yang diunjur tahun ini.
“Kejayaan 2017 juga telah meletakkan Honda Malaysia di tangga kedua di peringkat global, hanya 0.1 peratus di belakang peneraju, Honda Pakistan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pasaran terpenting buat Honda Automobile,” katanya semasa majlis pelancaran Odyssey baharu di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasinya, Roslan Abdullah dan Naib Presidennya, Akkbar Danial.
Odyssey baharu yang dilancarkan itu merupakan model ketiga selepas CR-V dan Accord yang turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan Honda Sensing.
Hadir dengan tiga warna menarik, Odyssey dijual dengan harga RM254,800 termasuk cukai barang dan perkhidmatan GST tidak termasuk insurans.
Ishiyama berkata, bagi tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap kepuasan pelanggan dengan memperkemaskan sektor lepas jualan mereka.
Menurut beliau, tujuh pengedar baharu bakal diaktifkan dengan penambahan konsep pengedar ekspres selain portal selepas jualan yang lebih interaktif.
“Perkhidmatan pusat panggilan tol percuma juga kami tingkatkan yang kini beroperasi tujuh hari seminggu dari pukul 9 pagi hingga 10 malam termasuk semasa cuti umum. Semua ini melibatkan kos RM31 juta,” katanya.
Sementara itu, Akkbar berkata, Odessey baharu ini dipadatkan dengan pelbagai teknologi serta kuasa enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan teknologi Earth Dreams dan kekotak gear transmisi berubah-ubah berterusan (CVT),” katanya.
Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan sebanyak 130 Odyssey dan ia boleh ditempah di semua 93 pengedar Honda seluruh negara.











