KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kira-kira 1,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan berhimpun di ibu pejabat Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai tanda protes seandainya masih tiada sebarang tindakan diambil terhadap parti itu yang didakwa melanggar Perlembagaannya.
Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat, Mohamad Taufik Abas berkata, pihaknya akan mengumpulkan semua ahli parti yang teraniaya termasuk mereka yang dipecat daripada barisan kepemimpinan parti sebagai membantah mengapa tiada tindakan diambil terhadap PPBM walaupun pelbagai bukti telah diserahkan kepada ROS.
Jelas beliau, pihaknya akan memberi masa selama dua minggu bermula hari ini kepada ROS untuk mengambil tindakan terhadap PPBM yang terpalit dengan isu penubuhan sayap pemudanya serta status mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dikatakan tidak mengikut Perlembagaan parti.
“Kami mendesak dan mahukan penjelasan daripada ROS kenapa sampai hari ini tidak ada tindakan sedangkan Pengerusi PPBM sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, sebanyak 400 laporan telah dibuat berhubung permasalahan parti tersebut.
“Sekiranya dalam tempoh dua minggu ini tiada tindakan diambil, kami tidak teragak-agak berhimpun di ibu pejabat ROS sebagai tanda protes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah beberapa lagi bekas Exco Armada Pusat termasuk Muhammad Hafiz Azhar, Muhd. Syazwan Ahmad Zainal, Abd. Wahazir Abd. Wahabi dan bekas Penyelaras Armada Pahang, Raja Mohd. Azlan Raja Omar.
Kebanyakan mereka dipecat daripada jawatan masing-masing sejak tahun lalu menerusi media sosial kerana mempersoalkan pelbagai isu termasuk kekayaan anak-anak Dr. Mahathir, dasar-dasar pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, hala tuju Pakatan Harapan yang diketuai DAP serta dakwaan skandal Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isteri orang.
Mengulas lanjut, Mohamad Taufik bersama beberapa ahli parti itu melahirkan rasa tidak berpuas terhadap ROS sedangkan semua bukti pelanggaran Perlembagaan parti telah diserahkan kepada jabatan itu sejak Oktober 2017.











