Sze Fei-Izzuddin lengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia - Utusan Malaysia

Sze Fei-Izzuddin lengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 7 Feb. – Pasangan beregu muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia dalam aksi Kumpulan C menentang Myanmar di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.


Dalam aksi terakhir itu, pasangan negara tidak berdepan masalah untuk mencatat keputusan 21-12, 21-9 ke atas pasangan Aung Myo Htoo-Chan Win Oo dalam aksi yang memakan masa 19 minit.


Terdahulu, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven berjaya menyumbang dua mata buat Malaysia sebelum Iskandar Zulkarnain Zainuddin meraih mata ketiga selepas mengetepikan Chan Win Oo 21-10, 21-10.


Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga berjaya menyumbang mata buat negara apabila menundukkan gandingan Arkar Phone Myat-Toe Hein Si Thu 21-5, 21-5.


Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit gembira dengan permainan yang ditampilkan kedua-dua pasangan beregu hari ini selain menyifatkannya sebagai pemanas badan untuk pertemuan menentang Taiwan, esok.


Katanya, keputusan untuk tidak menurunkan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam perlawanan hari ini adalah untuk membolehkan mereka berehat dan kembali fokus untuk pertemuan terakhir peringkat kumpulan.


“Sebagai satu pasukan, semua pemain memainkan peranan penting untuk menyumbangkan mata buat pasukan dan itu merangkumi pemain beregu.


“Semalam, dapat dilihat kedua-dua beregu kita kurang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus memberikan mata mudah kepada lawan, jadi esok mereka perlu kekalkan semangat juang selain kekal fokus,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×