MALE, MALDIVES 6 Feb. – Presiden Maldives, Abdulla Yameen yang mengisytiharkan perintah darurat selama 15 hari di negara ini sejak semalam, telah mengarahkan penahanan Ketua Hakim Maldives, Abdulla Saeed dan Hakim Mahkamah Agung, Ali Hameed pada awal pagi ini.
Mereka ditahan bersama-sama pentadbir tertinggi mahkamah, Hassan Saeed selepas anggota tentera lengkap bersenjata dan unit operasi khas polis menyerbu kompleks mahkamah di sini.
Pihak polis dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan penahanan mereka dilakukan selepas menerima aduan berhubung kegiatan rasuah.
Semalam Abdulla Yameen telah mengarahkan penahanan bekas Presiden, Maumoon Abdul Gayoom, 80, yang juga abang tirinya dan menantu lelaki beliau kerana didakwa memihak kepada pihak pembangkang.
Krisis politik di negara ini semakin meruncing selepas Abdulla Yameen mengingkari perintah Mahkamah Agung supaya membebaskan sembilan ahli politik dan tindakan terbaharu itu meningkatkan ketegangan selain mencemar imejnya sebagai pulau peranginan yang terkenal di dunia.
Mahkamah sebelum itu turut memerintahkan kerajaan mengembalikan jawatan 12 penggubal undang-undang yang dipecat kerana mempertahankan pihak pembangkang, sekali gus membolehkan pihak pembangkang mempunyai sokongan majoriti seramai 85 ahli Parlimen dan membuka laluan untuk pemecatan Presiden.
Maumoon yang pernah menyandang jawatan Presiden selama 30 tahun dalam pilihan raya demokrasi pertama negara ini pada tahun 2008, turut berkempen untuk menggulingkan presiden yang sedia ada.
“Saya tidak melakukan apa-apa sehingga perlu ditangkap dan saya menggesa anda berpegang teguh pada pendirian masing-masing. Kami tidak akan mengaku kalah terhadap perubahan yang sedang kami lakukan,’’ kata beliau kepada para penyokongnya menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Twitter.
Sejak berkuasa pada tahun 2013, kerajaan yang diterajui Abdulla Yameen telah melancar banyak serbuan dan menahan hampir kesemua ahli politik pembangkang.
Sementara itu, kerajaan mengarahkan tentera dan polis agar menghalang sebarang penahanan atau tindakan memecat Abdulla Yameen.
Jurucakap kerajaan, Ibrahim Hussain Shihab melalui satu kenyataan di sini berkata, Mahkamah Agung tidak membuat keputusan yang melangkaui perlembagaan.
Dalam perkembangan lain, bekas presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang berada dalam buangan di luar negara, meminta India dan Amerika Syarikat campur tangan untuk menyingkirkan Abdulla Yameen.– AFP










