ALOR SETAR 6 Feb. – Juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei tidak berdepan masalah menyumbang mata kedua buat Malaysia dalam aksi Kumpulan Y menentang Vietnam di Kejohanan Berpasukan Asia di sini sebentar tadi.
Pemain berusia 19 tahun itu meraih kemenangan 21-11, 21-15 ke atas Nguyen Thuy Linh dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
Jin Wei memberitahu, dia sedikit bergelut dalam perlawanan hari ini kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.
“Perlawanan hari ini agak sukar buat saya, banyak kesilapan mudah dilakukan kerana saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.
“Saya harap perlawanan kedua saya akan menjadi lebih baik tetapi bergantung kepada jurulatih (Datuk Tey Seu Bock) sama ada akan menurunkan saya atau tidak dalam perlawanan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Aksi berikutnya akan menyaksikan perseorangan ketiga negara, S. Kisona beraksi menentang Dinh Thi Phuong Hong.-UTUSAN ONLINE










