KUALA LUMPUR 6 Feb. – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun kepada mana-mana majikan yang gagal menyerahkan borang E secara e-Filing tahun lalu.
![]() |
|
Abdul Manap Dim
|
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Abdul Manap Dim menjelaskan, hasil semakan pihaknya mendapati 10 peratus majikan di negara ini yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan tidak menghantar borang seperti yang diwajibkan.
“Taksiran berakhir pada Mac setiap tahun dan mereka perlu mengemukakan borang sebelum 31 Mac jika tidak mahu dikenakan tindakan.
“Jumlah majikan yang gagal mengemukakan borang terus meningkat iaitu 81,969 majikan pada 2014, diikuti 88,751 majikan pada 2015 dan 89,623 majikan pada 2016,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Percukaian dekat sini hari ini.
Seminar yang dianjurkan oleh LHDN dengan kerjasama Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) itu dihadiri kira-kira 253 majikan, pembayar cukai serta ejen cukai daripada pelbagai syarikat.
Yang turut hadir, Naib Presiden MEF, Prof. Dr. Michael Chiam Tow Hui serta Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan. – UTUSAN ONLINE










