Perang ini untuk apa, untuk siapa? – Dr. Rabeah Aldouh - Utusan Malaysia

Perang ini untuk apa, untuk siapa? – Dr. Rabeah Aldouh

RABEAH Aldouh (kanan), Lubaba Tayfour (tengah) dan Nada Farra antara yang gigih membantu anak-anak pelarian Syria melalui Rose2Rose dan SWA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERANG memusnahkan segala-galanya. Perang ini juga membuatkan kita (Syria) tidak bersatu padu lagi. Semuanya telah musnah”.

Demikian ‘catatan hati’ penuh luka dilalui Dr. Rabeah Aldouh, 31, terhadap usia 11 tahun konflik kemanusiaan Syria, yang tidak diketahui bila akan berakhir.

Namun mesej paling penting baginya, dalam tempoh 11 tahun ini, apa sebenarnya yang Syria dapat? Siapa yang menang? Menang yang macam mana?

Sehinggakan setiap langkahnya ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan bom di ‘tempat persembunyiannya’ di Universiti Aleppo pada 2011, Rabeah memberitahu, ia satu perjalanan cukup memeritkan dan berbahaya.

Enggan mengingati semula apa yang dilaluinya, di hati kecilnya tetap berbicara dan mempersoalkan, perang ini untuk siapa?

“Pada usia 21 tahun, saya tinggalkan Syria dan menyeberangi pintu sempadan untuk membina hidup baharu di Turkiye. Ketika usia itu, saya sedang berkuliah di Universiti Aleppo.

“Universiti tempat saya melanjutkan pengajian teruk dibedil bom. Ramai rakan-rakan saya ditahan tanpa usul periksa. Tempat kelahiran saya di Hama juga teruk dibedil bom.

“Ya Allah, saya tak mahu ingat lagi kisah hitam itu. Semuanya musnah. Dua adik-beradik saya syahid di bumi Syria,” katanya penuh sebak ketika diziarahi anggota Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di Gaziantep, Turkiye baru-baru ini.

Misi tersebut diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam; Saadon Suleiman (Pengurus Operasi MyCare) dan dua aktivis wanita MyCare, I Rahmah Ali serta Nor Shahidatul Akma Mohd. Noh.

Utusan Malaysia antara wakil media yang turut menyertai misi berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Rabeah ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Wanita Syria (SWA), Lubaba Tayfour dan Pengurus Program SWA, Nada Farra.

Rabeah kini sedang mengikuti pengajian perubatan untuk menjadi doktor pakar di Erciyes University, Kayseri, Turkiye.

Beliau turut berkhidmat di Unit Kecemasan Hospital Goksun, Turkiye selain aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rose2Rose (R2R) dan SWA.

Tugas di Gaziantep bukannya mudah bagi Rabeah kerana setiap detik, hati setiap ‘saudaranya’ yang ditemui meronta-ronta untuk pulang ke kampung halaman di Syria.

Menceritakan peristiwa hitam 2011, anak kelahiran Taybat al-Imam, Hama ini berkata, awalnya beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Perubatan di Universiti Aleppo pada 2009-2010.

“Ia satu detik cukup indah kerana memasuki jurusan perubatan merupakan impian saya sejak kecil. Kehidupan saya sangat stabil sehinggalah pada 2011. Ketika itu saya berada dalam bilik asrama universiti. Cukup menakutkan.

“Tembakan kedengaran di sana sini. Kami tak tahu apa nak buat, tak tahu apa berlaku sebenarnya sehingga berlaku serangan bom di universiti. Kehidupan di universiti penuh bahaya. Saya tidak dapat ke kuliah sehingga akhir tahun 2011,” katanya.

Jelasnya, serangan bom dan tembakan berterusan berlaku dan beliau termasuk ahli keluarganya terpaksa melarikan diri. Saya bersama ibu dan tiga lagi adik-beradik tinggalkan semuanya. Perjalanan menuju sempadan Turkiye penuh bahaya. Bom dan tembakan di kebanyakan tempat. Kami tak tahu sama ada perjalanan ini hidup atau mati.

“Sehingga kami tiba di sempadan Turkiye. Jalan kaki di tanah berlumpur sehingga saya berjumpa dengan bapa saudara dan menumpang di rumahnya.

“Ketika bapa dan seorang lagi adik-beradik saya datang ke Turkiye, kami menyewa sebuah rumah lama dan kami tidak membawa apa-apa dari Syria,” katanya.

Ketika itu beliau mula bekerja sambilan sebagai guru dan akauntan.

Di sebalik upah yang diterima, di hatinya bersoal, cita-citanya untuk menjadi doktor pakar perlu direalisasikan.

“Syukur Allah mengurniakan rezeki meneruskan pelajaran Setiap tahap pengajian, saya cuba bersabar dan mengumpul kekuatan. Saya kehilangan adik-beradik, kawan-kawan dan ahli keluarga, saudara-mara. Saya banyak menangis dan syukur Allah memberi saya kekuatan.

“Saya dapat menghabiskan pengajian dan kini bekerja di hospital dan menyambung pengajian untuk menjadi pakar. Prinsip hidup saya, percaya kepada Allah, bersabar dan sentiasa jujur dan membantu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×