Isu bekalan ubat pulih dalam masa terdekat

Isu bekalan ubat pulih dalam masa terdekat

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Duopharma Biotech dan The Live Green Co di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/WAN REDZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan bekalan ubat yang melanda pasaran kini dijangka pulih dalam masa terdekat, menurut Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Bhd., Leonard Ariff Abdul Shatar.

Beliau berkata, terdapat masalah rantaian bekalan ubat dan bahan mentah dari luar negara yang terpaksa dihadapi oleh pengilang tempatan sekali gus mengakibatkan kekurangan ubat di pasaran.

“Proses import ubat-ubatan dilakukan enam ke sembilan bulan lebih awal, jadi kita tidak tahu varian apa yang akan muncul dan sebarang keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara dan sebagainya.

“Selain itu, kejatuhan ringgit turut memberi kesan kepada pengeluar tempatan kerana sektor ini menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) bagi urusan perdagangan.

“Isu ini tidak akan berpanjangan dan dijangka kembali normal dua bulan lagi. Masalah rantaian bekalan ini bukan berlaku dalam sektor farmaseutikal sahaja malah hampir semua sektor mengalami masalah sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat teknologi makanan AS, The Live Green Co., di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama terbaharu untuk meneroka penggunaan bahan-bahan berasaskan tumbuhan dan teknologi untuk menggantikan bahan berasaskan haiwan, sintetik dan amat diproses itu, Leonard Ariff berkata, ia bagi memenuhi permintaan pengguna bagi makanan kesihatan dan farmaseutikal yang lebih mampan.

Ujarnya, kerjasama ini melibatkan pembangunan, pembuatan dan pengkomersilan produk makanan kesihatan tumbuhan-sahaja dan farmaseutikal berdasarkan tumbuhan, dengan menggantikan bahan-bahan yang berasaskan haiwan atau sintetik.

“Keputusan untuk menggantikan bahan-bahan sedia ada dengan alternatif tumbuhan adalah langkah penting dalam merealisasikan matlamat Prestasi Iklim Duopharma Biotech untuk mengurangkan gas rumah hijau di sepanjang rangkaian bekalan kami.

“Terdapat gerakan yang semakin berkembang ke arah membuat pilihan makanan dan suplemen yang lebih sihat, dan kami menyasarkan untuk menjadi antara syarikat yang memenuhi permintaan ini di Malaysia dan dalam pasaran global kami,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama Duopharma Biotech dengan The Live Green Co. akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua produk yang dirumus semula ditawarkan kepada pengguna menjelang 2024.

“Jenama pengguna terkemuka yang akan membawa tag tumbuhan-sahaja atau berasaskan-tumbuhan tidak lama lagi termasuk Flavettes, Champs, Proviton, Uphamol dan Naturalle,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×