KUALA LUMPUR 12 Julai – Pengasuh Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditahan selepas bayi lelaki berusia lima bulan tersebut ditemukan maut di rumah wanita itu di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini minggu lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, wanita tersebut akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang selepas pihak polis menghantar kertas siasatan lengkap kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Suspek akan didakwa esok pada kira-kira pukul 10 pagi,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, dua suspek yang berusia 33 dan 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi Adam Rayqal.
Bagaimanapun, suspek berusia 36 tahun yang merupakan rakan serumahnya dibebaskan dengan jaminan polis.
Minggu lalu, Adam Rayqal berusia lima bulan didakwa dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang lalu ibu bapa mangsa, Mohd. Sufi Naeif, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.
Penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan dan wanita itu akhirnya membawa polis ke rumahnya serta pemeriksaan dilakukan berjaya menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.
Ketika ditemukan pada pukul 11 malam, mayat mangsa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaiannya.
Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.











