SHAH ALAM 12 Julai – Polis menganggap siasatan kes kematian seorang ketua kerani yang dibunuh seorang kakitangan lelaki Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di Banting, Kuala Langat dekat sini semalam telah selesai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ini kerana suspek berusia 28 tahun itu menghubungi sendiri pihak polis selain mengaku mencekik dan menikam mangsa.
Beliau turut memberitahu bahawa suspek yang baharu bertugas kira-kira tiga bulan di kolej berkenaan didapati mempunyai rekod menerima rawatan berkaitan masalah mental.
“Saya boleh katakan siasatan kes ini telah selesai manakala suspek direman bermula hari ini sehingga 18 Julai ini bagi melengkapkan siasatan lanjut,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor yang baharu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, di sini hari ini.
Mazlan berkata, punca pembunuhan adalah disebabkan provokasi melampau oleh mangsa apabila suspek dikatakan disindir kononnya mempunyai hubungan dengan kakitangan lain di kolej itu.
Semalam, mangsa, Zaimah Mahmod, 57, dilaporkan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di bahagian leher serta badan di sebuah stor pejabat pentadbiran kolej tersebut.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa juga dilaporkan turut dicekik.
Mayat mangsa ditemukan selepas polis menerima panggilan telefon daripada suspek sendiri pada pukul 2.40 petang semalam yang mengakui telah membunuh mangsa kerana mendakwa tidak puas hati dengan sikap mangsa yang kerap menyindirnya mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerja lain.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.











