Operasi menyelamat rumah ke rumah - Utusan Malaysia

Operasi menyelamat rumah ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURASHIKI, Jepun 10 Julai – Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari rumah ke rumah bagi mengesan mangsa yang masih hidup selepas hujan lebat menyebabkan berlakunya tanah runtuh sehingga meragut sekurang-kurangnya 156 nyawa.

Pada masa yang sama, hujan yang turun sejak minggu lalu dilaporkan sudah berhenti dan banjir semakin surut.

Di bandar Kurashiki, ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami banjir sehingga memaksa banyak penduduk menyelamatkan diri di atas bumbung rumah sementara me­nunggu pasukan penyelamat tiba.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Kumpulan Penyelamat, Hideto Yamanaka memaklumkan operasi menyelamat melibatkan setiap rumah di kawasan terjejas dan dilakukan dengan teliti bagi mengesan mana-mana mangsa yang terperangkap.

“Kami berusaha sedaya upaya mencari dan menyelamat mangsa yang mungkin terperangkap dalam rumah. Kami bimbang jika ada warga emas yang tidak berupaya menyelamatkan diri dan terpe­rangkap,” katanya.

Di daerah Mabi, banjir yang sudah surut menyebabkan be­berapa kawasan diselaputi lum­pur tebal, manakala banyak premis perniagaan ditutup selepas harta benda musnah dalam bencana ini.

Seorang wanita warga emas, Fumiko Inokuchi, 61, berkata, dia berjaya menyelamatkan diri pada Sabtu lalu dengan berlin­dung di sebuah pusat penjagaan orang tua setelah paras air naik dengan mendadak.

“Saya dapat melihat rumah yang ditenggelami air dan tidak mampu berbuat apa-apa,” ujarnya.

Sementara itu, kerajaan jepun bertungkus-lumus menyambung semula bekalan elektrik dan air yang terputus akibat bencana tersebut.

Setakat ini, sebanyak 3,500 kediaman sudah mendapat kembali bekalan elektrik, tetapi lebih 200,000 penduduk lagi terputus bekalan air selain berdepan dengan suhu tinggi yang mencecah sehingga 33 darjah celsius.

Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso memberitahu media ada penduduk yang terjejas meminta kerajaan menyediakan alat pendingin hawa bagi mengatasi masalah itu.

Sementara itu, Aso memaklumkan kerajaan pusat sudah menyediakan dana infrastruktur sebanyak AS$631 juta (RM2,538 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×