KULIM 8 Julai – Lebih 1,000 penduduk dari beberapa kampung di sekitar Hutan Simpan Gunung Bongsu di sini menggesa pihak terbabit supaya menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut yang didakwa mendatangkan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.
Rata-rata penduduk di kawasan tersebut meminta supaya semua jentera berat dan peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja pembalakan dikeluarkan dari lokasi berkenaan.
Seorang penduduk di Kampung Terap, Mustafa Yahaya, 53, mendakwa kebanyakan penduduk tidak berpuas hati terhadap aktiviti pembalakan di kawasan itu yang menimbulkan masalah banjir kilat dan banjir lumpur di kawasan rumah mereka.
“Banyak masalah timbul bila berlaku banjir kilat dan banjir lumpur di kawasan kampung dan ia dipercayai berpunca daripada kesan pembalakan di Gunung Bongsu.
“Pelbagai pihak di negeri ini dimaklumkan tetapi malangnya tidak ada penyelesaian mengenainya sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di kawasan berkenaan semalam.
Semua penduduk terbabit berhimpun di kuari batu Sungai Tengas Bandar Baharu di sini bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, kata Mustafa, aktiviti pembalakan di kawasan itu jika tidak dikawal dikhuatiri mendatangkan lebih banyak masalah kepada penduduk setempat.
“Aktiviti pembalakan terletak dalam kawasan hutan simpan kekal Gunung Bongsu di sebelah Kulim dan penduduk di kawasan ini sudah lama menggunakan air dari hutan simpan gunung itu sebagai air bersih melalui skim bekalan air masyarakat dari Kementerian Kesihatan sejak 1980 lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeo Keng Chuan berkata, pihaknya telah mengemukakan masalah di hadapi oleh penduduk kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam.
“Bantahan yang dibuat oleh penduduk di sini adalah wajar kerana kesan pembalakan di kawasan itu, banyak masalah timbul.
“Aktiviti membalak menyebabkan hakisan tanah lalu menjadikan sungai cetek,” katanya.











