PHUKET 6 Julai – Penyelam pasukan tentera laut Thailand menaikkan 37 mayat yang terapung di laut hari ini selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 105 pelancong terutamanya dari China, terbalik di luar pantai Phuket.
Kebanyakan mayat berkenaan ditemukan dengan muka telungkup dan masih memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari bot pelancong yang karam di Laut Andaman.
Sehingga laporan ini disediakan, seramai 18 dilaporkan masih hilang.
Semalam, satu mayat mangsa dibawa keluar dari laut dan dibawa ke pantai sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan buat sementara.
Bot berkenaan yang diberi nama Phoenix itu dalam perjalanan dari Phuket sebelum terbalik akibat dipukul ombak kuat setinggi lima meter dan karam.
Dalam perkembangan yang sama, jurucakap wilayah Phuket, Busaya Jaipiem berkata, pasukan tentera laut menemukan tujuh mayat tersebut dalam bot yang karam.
Bagaimanapun, terdapat percanggahan dalam laporan berkenaan apabila agensi berita dan stesen penyiaran memberikan angka korban yang berbeza.
Ketika kejadian berlaku, pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan kira-kira 48 penumpang termasuk anak kapal sebelum operasi SAR dihentikan lewat semalam.
Menurut mangsa yang selamat dan kini dirawat di hospital, Wu Jun, 28, keadaan cuaca baik ketika mereka keluar untuk menaiki bot dan tidak tahu bagaimana cuaca berubah begitu cepat.
Sejumlah 56 penumpang dilaporkan hilang sebelum usaha mencari dan menyelamat dilakukan dalam tragedi bot terbaharu yang paling buruk dalam sejarah negara ini.
Gabenor Phuket, Noraphat Plodthong sebelum ini berkata, pasukan keselamatan menganggarkan banyak penumpang terperangkap dalam bot tersebut ketika ia karam, sekali gus peluang untuk menemukan mangsa yang hidup adalah tipis.
“Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari dan mengesan mangsa-mangsa yang masih hilang” katanya.
Tentera Laut Thailand memaklumkan bahawa Phoenix tenggelam 40 meter di dasar laut dan lokasi kejadian terletak beberapa kilometer di luar pantai Koh He iaitu kawasan yang terkenal dengan keunikan batu karang dalam kalangan pelancong.
Sementara itu, sebanyak 11 daripada penumpang diselamatkan cedera dan dua daripadanya dilaporkan parah. – AFP











