KUALA LUMPUR 5 Julai – Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dilaksanakan sebelum ini perlu diteruskan kerana memberi manfaat kepada masyarakat kurang berkemampuan mendapatkan Lesen Memandu Percubaan (P) motosikal kelas B2.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, SKSJ merupakan program yang baik daripada pihak kementerian dalam meringankan beban rakyat kurang berkemampuan dengan mengenakan kadar bayaran rendah dan berpatutan.
“Kebanyakan masyarakat di luar bandar tidak mempunyai lesen memandu dan sekiranya program ini tidak mengikut piawaian yang ditetapkan, pihak kementerian perlu memperbaikinya dan memperhalusi lagi.
“Program ini dapat mengelakkan golongan yang kurang berkemampuan seperti B40 dan warga emas daripada dikenakan kadar bayaran yang berlebihan daripada institut memandu dalam tempoh memperoleh lesen memandu,” katanya.
Program SKSJ telah dilaksanakan dari tahun 2009 dengan memberikan lesen memandu kepada 140,647 orang masyarakat luar bandar melalui 302 siri di seluruh negara yang melibatkan individu berusia 45 tahun ke atas, belia 21 tahun ke atas, Orang Asli dan warga emas.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), Hamdan Taha berkata, program SKSJ perlu diperbaiki oleh pihak kementerian dan jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan dan memberikan lesen memandu kepada pengguna.
“Pembatalan program ini tidak seharusnya dilakukan tanpa mempunyai satu program baharu yang lebih berkualiti dan lebih menguntungkan kepada pengguna dari segi harga.
“Pihak kementerian perlu melakukan satu kajian menyeluruh terhadap program ini bagi menentukan sama ada ada program itu dihentikan atau sebaliknya,” ujarnya.











