SUNGAI SIPUT – Ketua Penerangan Keadilan Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail akan dilantik menjadi Penasihat Khas kepada Menteri Besar bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pelantikan itu akan berkuat kuasa dalam waktu terdekat dan Siti Aishah sendiri telah dimaklumkan mengenainya.
“Pelantikan Siti Aishah bukan atas gesaan dan daripada mula lagi kita telah berhasrat meletakkan beliau di satu tempat yang berpengaruh. Saya sendiri telah bercakap dengan beliau (Siti Aishah) secara peribadi dan beliau bersetuju menerima lantikan ini.
“Beliau sebagai penasihat khas akan berperanan untuk membantu mendekati golongan belia dan muda di negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri PPBM Bahagian Sungai Siput di sini hari ini.
Sebelum ini, Siti Aishah dilaporkan dinamakan sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PKR yang merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum akhirnya menarik diri. – Bernama











