PUTRAJAYA 5 Julai – Anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Aziz selesai disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau hari ini dipanggil sekali lagi memberikan keterangan buat kali ketiga untuk membantu siasatan skandal kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Pada kali ini, Riza, 48, disoal lebih tujuh jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan siasatan terhadap skandal tersebut.
SPRM sebelum ini telah merekodkan keterangan lelaki itu sebanyak dua kali pada kelmarin dan semalam dengan masing-masing mengambil masa sembilan dan enam jam.
Riza yang tiba di ibu pejabat SPRM dengan menaiki kereta Audi berwarna hitam pada pukul 11.10 pagi telah dilihat keluar pukul 6.40 petang.
Beliau dijangka dipanggil semula memberikan keterangan buat kali keempat pada pukul 10.30 pagi esok.
Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu pernah dikaitkan kes 1MDB kerana didakwa menggunakan wang milik syarikat berkenaan untuk menerbitkan sebuah filem. – UTUSAN ONLINE











