KUALA TERENGGANU 5 Julai – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengesahkan tanah-tanah yang telah dirampas ketika pentadbiran kerajaan terdahulu akan dikembalikan semula, mencecah puluhan ribu lot.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut jumlah sebenar lot tanah itu kerana ia melibatkan pelbagai kategori selain terpaksa melalui beberapa proses termasuk pengisian borang permohonan, bayaran premium dan sebagainya.
Dr. Ahmad Samsuri turut mengesahkan, jumlah tanah yang akan dikembalikan kepada rakyat yang berhak masih tidak berubah daripada jumlah asal sebagaimana mendapat kelulusan pada zaman pemerintahan kerajaan Pas di Terengganu sebelum `dirampas’ semula oleh kerajaan BN pada tahun 2004.
“Mereka yang terlibat adalah bermacam kategori, memang ramai dan ia mencecah puluhan ribu. Kita akan teliti kembali semua yang dinafikan hak sebelum ini untuk kita lihat sama ada mereka terima (tanah) atau tidak sepanjang tempoh 2004 hingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Syawal 2018 Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) di premis syarikat itu di Chendering di sini, hari ini.
Dr. Ahmad Samsuri juga memberi jaminan kerajaan negeri akan mengkaji untuk membuka rancangan tanah baharu (RTB) secara berperingkat di serata negeri ini dan proses itu dijangka mengambil masa agak lama melibatkan kesemua lapan daerah.
Semalam, beliau memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bahawa kerajaan negeri akan mengembalikan semula tanah-tanah yang diluluskan semasa penggal pemerintahan Pas mulai 1999 namun dikatakan telah ‘dirampas’ oleh kerajaan BN apabila kembali menguasai negeri pada 2004.
Tanpa menyebut jumlah kelulusan dan keluasan tanah berkaitan, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu sidang DUN semalam, pendirian itu bagi memenuhi janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kerajaan negeri pada pentadbiran kali ini telah meletakkan manifesto untuk mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas selepas pemerintahan Pas 2004 dan membuka permohonan tanah baharu dengan pemberian geran/hak milik yang sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











