KOTA KINABALU – Seorang penoreh getah berdepan hukuman penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM50,000 kerana memiliki bahagian beruang madu kira-kira dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Jupilin Mojungkal, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki bahagian beruang madu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, pada pukul 11.45 pagi, tertuduh dalam milikannya empat tapak kaki dan satu bahagian hempedu ditahan di kawasan medan selera Asia City di sini bersama seorang lagi tertuduh, Morin Masain, 28, pada 20 Ogos 2016.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 41(4) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang membawa hukuman denda RM50,000 dan penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Abdul Karim Dokog manakala Jupilin diwakili Ram Singh dan Morin diwakili Michelle Usman.
Dalam pembelaannya, Ram merayu kepada mahkamah supaya pembayaran denda ditangguhkan kerana khuatir anak guamnya yang menyara hidup sebagai penoreh getah tidak mampu mengumpulkan dana dalam tempoh yang ditetapkan.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman denda sebanyak RM50,000 yang perlu dilunaskan Jupilin pada hari ini dan berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal.
Bagaimanapun, hukuman penjara selama dua tahun terhadap Jupilin ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi diputuskan.
Dalam prosiding yang sama mahkamah, menetapkan 17 Julai depan untuk pendengaran keputusan kehakiman terhadap Morin yang kekal dengan pengakuan tidak mengaku bersalah. – K! ONLINE











