KUALA LUMPUR 5 Julai – Penyanyi rock legenda, Amy Search, 60, menerusi entri di media sosial mendedahkan isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish, 37, mengalami keguguran selepas tempoh kandungan anak keempat pasangan itu memasuki usia tiga bulan.
“Degupan itu akhirnya terhenti dan hilang dari pandangan. Alex, Sania dan Qaqa tertunduk saat mendapat berita ini.
“Qaqa menangis teresak-esak. Kini tiada lagi cerita bayi yang bakal mereka miliki,” tulisnya di laman Instagram miliknya.
Di samping itu, vokalis kumpulan Search itu turut memuat naik sebuah klip video memaparkannya menemani Nourish menjalani sesi pemeriksaan dan rawatan daripada doktor.
Nourish pula ketika dihubungi menjelaskan, dia reda atas dugaan yang menimpanya dan berharap ada hikmah di sebalik ujian Allah itu.
Pada 25 Mei lalu, Amy meluahkan rasa gembira mengenai kehamilan isterinya itu selain tidak sabar untuk bergelar bapa pada usianya yang melebihi separuh abad.
Untuk rekod, Amy dan Nourish yang berkahwin pada 2003 mempunyai tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.
Amy turut mempunyai dua lagi anak iaitu Nabila Huda, 34, hasil perkahwinan pertama, Faridah Fadzil dan Irisha Myra, 21, perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad.
Menerusi perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul Latiff mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – UTUSAN ONLINE











