Pemecatan Inspektor tidak sah - Utusan Malaysia

Pemecatan Inspektor tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 5 Julai – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan pemecatan seorang inspektor polis tiga tahun lalu kerana tiga kesalahan disiplin, adalah tidak sah.

Hal ini kerana lembaga disiplin tidak boleh bersandarkan kepada kenyataan beramaran di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah untuk memecat Selamat Rasumin, 53.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Umi Kalthum Abd. Majid yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam ketika menolak rayuan Kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, Selamat diperintah diterima semula dalam pasukan dengan jawatan asal dan berhak menerima gaji yang sama sebelum dipecat pada 26 Mac 2015.

Pegawai polis tersebut sebelum itu bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Johor.

Ketika dipecat, beliau ditugaskan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala salah laku ketika bertugas itu didakwa dilakukan sekitar tahun 2009.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakimannya untuk membatalkan keputusan lembaga disiplin yang memecatnya.

Mahkamah Tinggi ketika itu turut memerintahkan siasatan dijalankan bagi menentukan tunggakan gaji, emolumen, elaun dan faedah lain yang sepatutnya diterima untuk tempoh tiga tahun pemecatan.

Selamat diwakili oleh peguam G. Subramaniam Nair dan Ebrina Zubir manakala pihak perayu diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN