KANGAR 5 Julai – Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini dijadual mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 Julai ini.
![]() |
|
Datuk Seri Azlan Man
|
Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man tetapi walau bagaimanapun beliau enggan menyatakan individu yang bakal dipilih sebagai Speaker DUN semasa majlis itu.
“Tunggulah,” katanya ringkas ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Raikan Syawal dan Pelancaran Program Kolaborasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di ibu pejabat majlis tersebut di sini hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Azlan memberitahu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini masih beroperasi seperti biasa meskipun tanpa elaun bulanan pada masa ini.
Kata beliau, kerajaan negeri masih belum membuat keputusan untuk mengembalikan semula elaun tersebut kerana melibatkan sejumlah peruntukan.
“Kita maklum, peruntukan JKKK sebelum ini diberikan oleh kerajaan Pusat sebelum pemberiannya kepada kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dihentikan,” katanya.
Pada bulan lalu, kerajaan di bawah Pakatan Harapan mengumumkan penjenamaan semula JKKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan geran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada setiap majlis tersebut di negeri-negeri di bawah kerajaan. – UTUSAN ONLINE












