KETIKA pelbagai bantuan dihulurkan kepada masyarakat Islam di luar negara, Malaysian Relief Agency (MRA) sama sekali tidak pernah melupakan nasib anak bangsa di negara sendiri.
Keperitan dan kesukaran yang dihadapi masyarakat tempatan sebaiknya cuba dibantu oleh MRA di seluruh negara, malah pelbagai usaha dilaksanakan demi memastikan kelangsungan hidup yang lebih sempurna.
Setiausaha Agungnya, Dr. Shahrizal Azwan Samsudin berkata, selain menyalurkan sumbangan dan bantuan ke luar negara khususnya yang berhadapan dengan konflik seperti Yemen, Palestin, Syria dan Bangladesh serta beberapa buah negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Indonesia, namun keutamaan MRA tetap diberikan kepada masyarakat tidak bernasib baik di negara ini.
Katanya, Ramadan lalu pelbagai sumbangan disalurkan kepada penerima yang layak menerusi tujuh cawangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di seluruh negara termasuk masyarakat daripada etnik Bajau Laut di Sabah.
“Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui penderitaan keluarga penoreh getah Melayu miskin di daerah Sik dan Baling, Kedah yang hidup dalam keadaan amat daif dengan pendapatan bulanan antara RM500 hingga RM600 sebulan, malah pendapatan itu pun hanya mampu dicapai sekiranya cuaca panas lebih kerap.
Tambah Shahrizal Azwan, bantuan turut disalurkan kepada masyarakat Orang Asli oleh MRA Perak dan Pahang di kawasan masing-masing.
Menurutnya, sepanjang Ramadan lalu, MRA Perak melaksanakan program kemasyarakatan di perkampungan Orang Asli di Bukit Asu Pengkalan Hulu, Pos Brooke, Pos Tuel dan Mendrod di Gua Musang, selain di kampung Orang Asli Kotai dan Beswok di Sungai Siput; serta di Pos Slim, Pos Raya dan Lalang di kawasan berhampiran Cameron Highland.
Sementara itu, Shahrizal Azwan berkata, nasib masyarakat miskin bandar tetap tidak dilupakan oleh MRA dan bantuan sewajarnya diberikan terutama melibatkan aspek pendidikan dan pembelajaran.
Menurutnya, pihak MRA berusaha mendekati anak-anak yang terdiri daripada keluarga miskin di bandar-bandar besar melalui Projek Pendidikan Miskin Bandar termasuk pemberian akses pembelajaran tambahan untuk anak-anak yang ketinggalan dalam pembelajaran.
“Projek Pendidikan Ilmu adalah program jangka panjang yang diusahakan oleh MRA Pulau Pinang untuk membantu dan memantapkan tahap pendidikan kanak-kanak miskin bandar yang masih gagal menguasai asas pembelajaran seperti membaca, mengira dan menulis,” katanya.











