SEPANG – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Khalidah Mohd. Darus (gambar kecil) mati disyaki dibunuh anaknya sendiri di sebuah rumah dekat Taman Warisan Indah, Kota Warisan di sini kelmarin.
Ketika kejadian, hanya mangsa bersama anaknya yang dikatakan mempunyai masalah mental berada di rumah manakala suaminya bekerja di Johor Bahru. Anak sulung mangsa pula berada di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihak polis oleh anak sulungnya kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan lebam pada kedua belah tangan dan perut mangsa selain giginya patah, bibir lebam serta berdarah dipercayai kesan daripada hentakan kuat.
“Mangsa disyaki diserang oleh suspek berdasarkan terdapat kesan pergelutan di dinding pintu masuk ke rumah dan kesan darah pada bahagian dalam tepi sofa di ruang tamu. Mangsa dipercayai diheret ke bilik tidur bersebelahan dapur.
“Siasatan juga mengesyaki suspek menggunakan mop untuk mengelap kesan darah di lantai berdasarkan kesan titisan air bercampur darah dari bahagian dapur ke bilik serta di ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.











