Tiga ADUN BN dapat restu Pusat, negeri - Utusan Malaysia

Tiga ADUN BN dapat restu Pusat, negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 4 Julai – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Pakatan Harapan (PH) mendakwa keputusan itu mendapat restu daripada pucuk pimpinan UMNO Pusat dan negeri.

ADUN Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat secara bersepakat bersama dua ADUN lain bertujuan mengelak pi­lihan raya negeri (PRN) diadakan.

“Apa yang kita lakukan sebenarnya mendapat restu daripada pimpinan UMNO negeri serta Pusat dan bukan keputusan individu malah ia dibuat secara bersama kerana kita ada alasan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita nak mengelakkan PRN kerana kita baru sahaja selesai pilihan raya umum dan sekarang masa kita mula bekerja serta kita kena terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ku Abdul Rahman sambil mengulas lanjut berkata, keputusan yang mendapat persetujuan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor juga dibuat setelah mengambil kira kesan sekiranya berlaku PRN termasuk kepenti­ngan untuk rakyat di negeri ini.

“Kita nak elakkan kerja-kerja yang tidak produktif kerana jika keputusan undi sama 18-18, kena ada PRN. Jadi saya rasa tidak baik untuk rakyat. Justeru kita kena buat satu keputusan rasional menggunakan kebijaksanaan yang kita ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Norsabrina memberitahu, pemilihan Datuk Ahmad Kassim sebagai Speaker DUN itu juga dibuat dengan mengambil kira kelancaran fungsi kerajaan negeri dalam menguruskan hal berkaitan khidmat kepada masyarakat.

“Kestabilan untuk kesatuan adalah lebih penting, jadi kami buat keputusan bersetuju supaya kerajaan negeri beroperasi dengan baik dan lancar di samping itu, kami juga akan menjadi pembangkang yang baik dengan menyediakan semak dan imbang kepada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Suraya menjelaskan, undi yang diberikan dalam hal berkaitan pelantikan tersebut tidak melambangkan sokongan tiga ADUN terbabit kepada kerajaan yang dipimpin PH.

“Undi ini tidak menggambarkan kita sokong mereka tetapi kita ingin teruskan pentadbiran kerajaan dengan baik tanpa melibatkan hal-hal yang tidak berkaitan. Oleh itu saya harap semua penyokong UMNO bersabar dan fahami situasi sebenar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN