Pendakwaan Najib, UMNO beri kerjasama - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Pendakwaan Najib, UMNO beri kerjasama – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 4 Julai – UMNO akan memberi kerjasama terbaik dan mengalu-alukan langkah yang wajar diambil sepanjang pendakwaan terhadap bekas Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghormati kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan.

MOHAMED KHALED NORDIN

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai seorang yang memiliki kepercayaan teguh terhadap institusi demokrasi di negara ini, beliau percaya tindakan itu adalah peluang terbaik bagi UMNO untuk menunjukkan kebertanggungjawaban pemimpinnya dan menghapuskan spekulasi negatif yang ada, terutama sekali berkenaan dengan kes SRC International Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap bahawa keadilan akan ditegakkan, sekali gus mengembalikan kepercayaan rak­yat terhadap institusi-institusi demokrasi dan menebus semula maruah UMNO pada pandangan umum rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan mela­ku­kan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu melibatkan RM42 juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, UMNO percaya bahawa institusi kehakiman akan menjalankan pendakwaannya secara adil, menyeluruh dan efektif supaya jawapan yang dicari oleh semua pihak terhadap kebenaran kes berkenaan dapat dirungkai.

Menurutnya, UMNO mengikuti perkembangan kes berkenaan dengan sepenuh tumpuan dan menggesa semua rakyat untuk bertenang sementara pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang proses pendakwaan itu berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN