[VIDEO] Najib Razak mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

[VIDEO] Najib Razak mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Setelah beberapa tahun dikaitkan dengan skandal berkaitan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) berjumlah RM42 juta.

Bekas Perdana Menteri yang berdiri di kandang tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah serta minta dibicarakan sejurus selepas setiap pertuduhan selesai dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak.

Kecuali bagi pertuduhan pertama dia didengar berkata “mohon bicara”, bagi tiga pertuduhan lain, Najib hanya mengangguk tanda faham dan suara jurubahasa sahaja didengar mengulangi ungkapan “OKT (orang kena tuduh) me­ngaku tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang prosiding selama lebih dua jam di Mahkamah Tinggi dan 30 minit sewaktu sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini, Najib yang memakai sepasang sut berwarna biru gelap dan bertali leher merah bagaimanapun langsung tidak memandang ke arah anak-anaknya atau orang ramai yang duduk di galeri awam.

Najib yang genap berusia 65 tahun pada 23 Julai ini turut dilihat terus masuk ke dalam bilik saksi selepas prosiding selesai dengan mahkamah menetapkan 19 hari perbicaraan kes itu yang dijadual­kan bermula dari 18 hingga 28 Februari tahun depan disusuli dari 4 hingga 8 Mac serta dari 11 hingga 15 Mac tahun sama.

Selain itu, Hakim Mohd. So­fian menetapkan 8 Ogos ini untuk pe­ngurusan kes dan pendengaran permohonan rasmi Najib supaya satu perintah larangan dikeluarkan terhadap pihak media daripada menerbitkan perbincangan berhubung merit berkaitan pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Presiden UMNO itu.

Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM42 juta milik SRC setelah diamanahkan de­ngan pe­nguasaan wang milik SRC berjumlah RM4 bilion atas kapasiti­nya sebagai penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Khas) syarikat tersebut.

Terdahulu, Hakim Mohd. Sofian turut membenarkan Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu dibebaskan de­ngan jaminan RM1 juta berserta dua penjamin dan diperintahkan menyerahkan kedua-dua dokumen perjalanan yang dimilikinya sebagai syarat jaminan bagi ke­semua pertuduhan.

Atas permohonan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan tujuh peguam mewakili Najib, mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan RM500,000 pada hari ini dan baki setengah juta ringgit lagi dibayar pada Isnin ini.

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas sebelum itu memohon jaminan wang tunai RM4 juta dengan dua penjamin dan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, sementara Muhammad Shafee memohon jaminan dikurangkan antara RM500,000 hingga RM800,000 dan geran hartanah di Jalan Langgak Duta sebagai cagaran memandangkan akaun bank peribadi anak guamnya, isteri dan anak-anak mereka telah dibekukan.

Najib dibebaskan pada pukul 2.45 petang selepas dua anaknya, Nooryana Najwa dan Norashman selaku penjamin selesai membayar wang ikat jamin bapa mereka sebanyak RM500,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN