Menanti janji-janji ditunaikan - Utusan Malaysia

Menanti janji-janji ditunaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas keizinan-Nya, kerajaan Pakatan Harapan berjaya membentuk Kabinet penuhnya Isnin lalu. Kalam percaya usaha membentuk Kabinet itu bukannya mudah kerana masing-masing mempunyai hujah mengapa pemimpin mereka wajar dipilih untuk menganggotai barisan Kabinet.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya yang dipetik daripada portal antarabangsa, Channel News Asia, 25 Jun lalu sendiri mengakui memimpin kerajaan Pakatan Harapan hari ini adalah lebih sukar berbanding ketika beliau menerajui kepe­mimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini kerana UMNO dalam BN adalah sebagai parti dominan.

Apa pun Kalam pasti Dr. Mahathir dan semua rakan sejawatannya dalam Pakatan Harapan mempunyai formula tersendiri bagi memastikan pelantikan menteri dan timbalan menteri memenuhi kehendak keempat-empat parti yang membentuk pakatan tersebut iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Setelah berjaya melengkapkan barisan Kabinet, kini tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan menunaikan setiap janji yang terkandung dalam manifestonya pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU) lalu, sama ada untuk tempoh 100 hari memerintah mahupun lima tahun memerintah.

Kalam sendiri antara individu yang berminat mengikuti perkembangan ini lebih-lebih lagi yang berkaitan komitmen untuk meringankan kos sara hidup rakyat. Dalam membicarakan hal ini tidak perlu pergi jauh, cukup dengan menceritakan rutin Kalam seharian.

Kalam adalah pengguna setia Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Seremban (rumah) ke Kuala Lumpur (pejabat) sejak 12 tahun lalu. Bukan Kalam sahaja malah melibatkan puluhan ribu pengguna setia lebuh raya PLUS dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Bagi yang memandu sendiri seperti Kalam, belanja minyak dengan tol usahlah cerita. Anggaran kasar adalah kira-kira RM1,000 sebulan. Itu belum dikira belanja makan dan minum di pejabat. Paling tidak, boleh mencecah RM20 sehari.

Fikir punya fikir, akhirnya Kalam buat keputusan untuk bawa bekal ke pejabat. Apa yang isteri masak, itu yang Kalam makan. Dengan cara ini sahaja Kalam dapat jimatkan wang. Kasihan juga tengok isteri terpaksa masak untuk si suami setiap hari kerana dia juga bekerja.

Namun, apakan daya, itu sahaja pilihan yang ada untuk Kalam berjimat. Hendak guna kenderaan awam agak susah kerana kerja sebagai wartawan memerlukan kita bergerak ke sana dan ke mari. Hendak guna motosikal, tidak berani atas faktor keselamatan. Mahu tidak mahu terpaksalah memandu kereta ke pejabat.

Berbalik kepada rentetan kejayaan membentuk Kabinet baharu itu, Kalam amat berharap uar-uar mereka untuk mengurangkan kos sara hidup perlu dilaksanakan segera. Setakat ini hanya kutipan cukai barang dan perkhid­matan (GST) dihentikan tetapi bagaimana pula dengan janji hapuskan tol dan turunkan harga minyak?

Sehingga sekarang tol yang dikatakan akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat seperti yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan masih belum dilaksanakan. Ketika sibuk berkempen dahulu, bukan main lagi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menabur janji untuk hapuskan tol.

Kalau ada pun cuma penurunan antara RM0.40 sehingga RM1.70 bergantung pada kelas kenderaan di Plaza Tol Sungai Besi selepas bayaran tol antara plaza tol berkenaan sehingga Persimpangan Jalan Klang Lama-Taman Desa dimansuhkan. Ini berikutan berakhirnya Konsesi Lebuhraya Metramac pada 31 Mei 2018 seperti yang dijadualkan.

Kalam akui jika benar tol dihapuskan dan minyak diturunkan (harap-harap bawah RM2), ramai pengguna setia lebuh raya PLUS (khususnya Seremban-Kuala Lumpur) termasuk Kalam akan mendapat manfaatnya secara langsung.

Masakan tidak, berapa banyak wang yang dapat dijimatkan. Dianggarkan Kalam boleh jimat antara RM400-RM500 sebulan. Wang yang lebih itu boleh disimpan untuk kegunaan anak-anak belajar.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab tinggilah harapan Kalam agar Pakatan Harapan menunaikan setiap janji mereka sebelum ini. Jangan janji tinggal janji dan jangan dikhianati mandat rakyat. Renung-renungkanlah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN