MOSCOW – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menawarkan diri untuk menjadi jurulatih tanpa sebarang bayaran selepas pasukan tersebut tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2018 baru-baru ini.
Persatuan Bola Sepak Argentina (FAA) berharap pengendali sedia ada, Jorge Sampaoli meletakkan jawatan memandangkan mereka perlu membayar pampasan hampir £17 juta (RM90.8 juta) sekiranya memecat beliau.
Justeru, Maradona yang pernah mengemudi Argentina pada Piala Dunia 2010 sedia untuk memberikan khidmat secara percuma sekiranya FAA bertindak menamatkan kontrak Sampaoli.
“Jika mengikut kemahuan hati, saya memohon kepada tuhan memberikan kekuatan kepada saya untuk kembali beraksi. Amat sukar untuk melihat pasukan kesayangan saya tersingkir seperti ini daripada Piala Dunia.
“Hati saya luluh apabila menyaksikan apa yang kami bina selama ini dimusnahkan dengan mudah, jadi saya sanggup untuk kembali ke pasukan kebangsaan tanpa sebarang bayaran,” kata Maradona yang mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia 1986.
Pada ketika ini, beliau memegang jawatan selaku pengarah bola sepak kelab Belarus, Dinamo Brest selepas dipecat daripada tugas melatih kelab Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Fujairah.
Ketika membawa Argentina pada saingan Piala Dunia 2010, mereka berjaya melayakkan diri sehingga ke suku akhir sebelum tewas 0-4 kepada Jerman. – Agensi











