JERAI 4 Julai – Dengan rasa yang unik, sesetengah orang mungkin akan menganggap nira nipah sebagai minuman ‘eksotik’, namun bagi sebahagian yang lain, minuman berkhasiat itu sememangnya dicari-cari kerana sukar diperoleh di bandar-bandar besar selain ingin mengembalikan nostalgia terhadap kehidupan desa pada zaman dahulu.
Kalau di utara tanah air, minuman itu lazimnya dijual di tepi jalan.
Mereka yang mahu ‘nilai tambah’ ketika menikmati nira nipah boleh berkunjung ke Ladang Nira Nipah yang diusahakan oleh Ismail Che Kar, 51, di Jalan Kuala Sedaka dekat sini.
Selain menikmati rasa nira nipah asli yang segar, pengunjung berpeluang untuk menikmatinya dalam suasana santai dan mendamaikan di bawah rimbunan pokok nipah.
Menurut Ismail, dahulu beliau tidak pernah menyangka lokasi di sekitar rumahnya itu akan menjadi tumpuan orang ramai.
“Lokasi perniagaan ini sebenarnya tapak rumah lama datuk saya yang kini telah dibangunkan dengan rumah baharu milik saya sendiri. Di sekelilingnya terdapat pokok nipah yang dahulunya tumbuh dalam kawasan berpaya yang sememangnya menjadi sebahagian daripada punca rezeki datuk.
“Sekitar tahun 1990-an selepas saya mewarisi kawasan dan pokok-pokok ini daripada datuk, saya mengambil keputusan untuk menambak kawasan berpaya menggunakan tanah merah bermutu tinggi. Tujuannya bagi menjadikan laman rumah lebih luas seterusnya membolehkan anak-anak bermain selain memudahkan tugas menyadap nira nipah supaya tidak lagi perlu bergelumang dengan lumpur,” katanya.
Ketika ini, kawasan tersebut mempunyai kira-kira 300 pokok nipah dan para pengunjung turut berpeluang melihat bagaimana nira dihasilkan dan disadap jika kena pada masanya.
Beliau mengakui, ketika mula menambak kawasan tersebut, timbul sedikit kebimbangan mengenai keupayaan pokok-pokok nipah berkenaan untuk bertahan lama.
“Setelah sekian lama, saya lihat pokok-pokok nipah bukan sahaja tidak mati malah tumbuh lebih subur. Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk menambak keseluruhan kawasan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, setelah kawasan itu siap ditambak, beberapa rakannya gemar ke situ serta menikmati nira nipah di bawah pokok tersebut kerana keadaannya yang redup dan berangin.
“Merekalah yang memberi cadangan supaya saya membuka kedai. Makin lama, semakin ramai pula yang datang dan perniagaan ini kian berkembang sehingga menyebabkan saya perlu mendapatkan bekalan daripada saudara-mara dan rakan-rakan di sekitar sini,” katanya.
Jelasnya, kedai yang diusahakan bersama isteri, Rohana Ali serta anak-anaknya itu mula menjadi tumpuan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau pada 2013.
“Ketika itu ramai wartawan dan orang kenamaan yang singgah ke sini. Memang tak putus-putus orang datang sejak dari pukul 8 pagi sehingga tengah malam.
“Ada kalanya sampai pukul 1 pagi. Pada masa itu antara yang turut menikmati nira nipah di sini ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin,” katanya.
Sementara itu katanya, ketika ini kedainya turut menjadi lokasi pilihan kumpulan-kumpulan konvoi dari negeri-negeri lain.
“Kumpulan konvoi motosikal besar memang selalu ke sini begitu juga dengan rombongan bas. Begitu pun saya mohon jika ada mana-mana pihak yang mahu datang dalam jumlah ramai, seeloknya maklumkan kepada kami terlebih dahulu supaya boleh kami sediakan apa yang patut,” katanya.
Mana-mana pihak yang mahu membuat tempahan boleh menghubungi Ismail atau Rohana di talian 017-5542354.











