MOSCOW – Jurulatih Colombia, Jose Pekerman mengakui berang dengan tindakan pemain-pemain England yang sering merebahkan badan dengan sengaja pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia di Stadium Spartak awal pagi semalam.
England dilihat hampir pasti melangkah ke suku akhir apabila mendahului 1-0 sehingga minit ke-90 menerusi Harry Kane, namun pemain pertahanan Colombia, Yerry Mina menanduk masuk gol penyamaan pada waktu kecederaan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Pemain-pemain England sering merebahkan badan dengan sengaja apabila berada dalam kotak penalti. Bagi saya, sikap seperti ini tidak perlu wujud dalam sukan bola sepak kerana ia membawa kesan negatif.
“Kami cuba untuk mempersembahkan perlawanan yang seimbang, namun sikap yang ditunjukkan pemain England jelas mengganggu rentak permainan. Saya harap ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” kata Pekerman.
Justeru, beliau menggesa semua pihak agar tidak memandang remeh perkara tersebut serta mempertahankan keunikan bola sepak daripada gejala-gejala seperti itu.
“Saya fikir kita semua perlu mempertahankan bola sepak daripada terjebak dengan situasi seperti ini. Amat tidak selesa bermain dalam keadaan begitu, lebih-lebih lagi dipengaruhi keputusan pengadil perlawanan,” ujarnya. – Agensi











