PARIS – Kumpulan belia bertempur dengan polis di bandar Nantes, barat Perancis lewat kelmarin selepas seorang pemuda berumur 22 tahun ditembak mati oleh seorang anggota polis semasa pemeriksaan.
Sejumlah kereta dibakar dan sebahagian daripada sebuah pusat beli-belah juga dijilat api di kejiranan Breil ketika polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan, sebahagiannya bersenjatakan bom api.
Situasi yang membawa kepada kematian pemuda itu masih disiasat polis.
Ketua polis tempatan, Jean-Christophe Bertrand berkata, insiden berlaku sekitar pukul 8.30 malam kelmarin (waktu tempatan) apabila polis mengarahkan sebuah kenderaan berhenti kerana melanggar peraturan.
Identiti pemandu itu tidak jelas, manakala anggota polis menerima arahan untuk membawanya ke balai polis. Menurut Bertrand, pemandu itu bertindak memukul dan menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan.
“Salah seorang rakan sekerjanya kemudian melepaskan tembakan yang mengenai pemuda berkenaan dan menyebabkan dia meninggal dunia,” katanya.
Sumber polis mengesahkan bahawa pemuda itu mati sebaik tiba di hospital.
Keganasan juga berlaku di dua kawasan sensitif lain iaitu Dervallieres dan Malakoff di mana sejumlah kenderaan dibakar. – AFP











