CHESHIRE, Britain – Polis Britain menahan seorang wanita yang merupakan kakitangan kesihatan selepas disyaki membunuh 17 bayi di Hospital Countess of Chester sekitar tahun 2015 hingga 2016.
Polis menyiasat kematian mencurigakan sekurang-kurangnya lapan bayi di unit neonatal hospital tersebut dan mencari seorang jururawat yang bertugas di unit tersebut pada waktu itu.
Anggota polis menggeledah rumah Lucy Letby dan ibu bapanya di Hereford yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan tersebut.
Sebuah khemah biru didirikan di luar rumah Letby di Chester pada pagi Ahad lalu bagi tujuan siasatan.
Menurut laporan akhbar The Sun, polis Cheshire mengesahkan penahanan suspek yang kini sedang disoal siasat berhubung kes tersebut. Inspektor Detektif Paul Hughes menyifatkan penahanan itu sebagai petunjuk penting.
“Sebaik menerima aduan proses mendapatkan maklumat berterusan, skop siasatan juga kini diperluaskan. Kami buat masa ini menyiasat kematian 17 bayi yang meninggal dunia antara Mac 2015 hingga Julai 2016 dan penjagaan 32 yang lain,” katanya. – Agensi











