Kanak-kanak memiliki dunia sendiri - Utusan Malaysia

Kanak-kanak memiliki dunia sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKAHWINAN dengan kanak-kanak perempuan bawah umur sering menjadi topik yang dibincangkan di India atau beberapa negara Afrika.

Bagaimanapun, ia telah merebak ke Malaysia apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menjadi isteri ketiga kepada seorang lelaki warga tempatan.

Walaupun dalam banyak kes seumpama ini, isu ekonomi, budaya dan agama telah dijadikan modal untuk mewajarkan perkahwinan tersebut, tetapi dari sudut psikologikal ia hal yang sangat keterlaluan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara umumnya, pada umur ini kanak-kanak masih dalam proses untuk mengenali beberapa konsep utama dalam kehidupan.

Jean Piaget (1896-1980), ahli psikologi perkembangan yang selalu dirujuk dalam membincangkan proses perkembangan manusia mengkategorikan usia ini sebagai tahap Operasi Konkrit.

Mereka mula memahami sedikit sebanyak logik berkaitan sesuatu fenomena.

Misalnya, mengapa air perlu diletakkan di dalam bekas atau mengapa objek yang bulat boleh bergolek?

Sebab itulah, dalam proses mencari logik, mereka adakalanya banyak bertanya soalan kepada orang dewasa dengan beberapa hal yang tidak ketahui.

Mereka akan memulakan persoalan dengan bertanya ‘mengapa’ sesuatu perkara itu berlaku.

Pada peringkat ini, mereka juga mula sedikit sebanyak memahami siapakah diri mereka yang sebenarnya.

Jika pada usia sebelumnya, mereka mungkin boleh bermain dengan sesiapa sahaja kerana mereka tidak begitu mengenali diri mereka dan siapa pula orang lain, tetapi pada usia ini mereka sudah mula membuat pilihan.

Moral

Pilihan ini berdasarkan pengetahuan bahawa mereka mempunyai watak-watak tertentu.

Sekiranya ingin memilih sahabat perlulah mempunyai banyak persamaan dengan diri mereka.

Bagaimanapun, mereka dikatakan masih lagi kabur dengan hal yang abstrak dan bersifat moral.

Misalnya, mengapakah seseorang itu perlu dianggap bersalah dari segi moral sekiranya merokok di kawasan hospital atau meletakkan kereta di tempat yang boleh mengganggu orang awam.

Ini kerana, ia merupakan tahap penilaian moral yang dikatakan lebih tinggi dan biasanya hanya wujud pada usia remaja.

Konsep penilaian abstrak ini kemudiannya akan berkembang sesuai dengan perubahan umur seseorang.

Di seluruh dunia, secara umumnya mereka yang berusia sekitar enam hingga 12 tahun masih lagi berada di sekolah rendah.

Ia sesuai kerana pembelajaran peringkat ini sebenarnya lebih merupakan pemupukan kepada nilai-nilai asas kehidupan.

Mereka perlu dibekalkan dengan pengetahuan membaca, mengira dan menulis.

Mereka juga banyak didedahkan dengan apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

Apabila kita mendengar berita bahawa seorang anak kecil berusia 11 tahun berkahwin dengan seorang lelaki dewasa yang sudah mempunyai dua isteri, kita patut bertanya apakah sebenarnya motif utama perkahwinan tersebut.

Sekalipun terdapat laporan bahawa kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu merestui perkahwinannya dan dia pula menyayangi suaminya, tetapi apakah maksud sayang tersebut?

Sebagai orang dewasa pun, kita adakalanya masih gagal untuk membezakan antara suka, sayang dan cinta, bayangkan pula apakah yang difahami dengan kanak-kanak kecil ini.

Malah, mereka mungkin tidak pun mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan yang sebenarnya bercampur baur dengan banyak cerita kehidupan manusia lain.

Mungkin bagi anak kecil ini perkahwinan tadi hanya sekadar pemindahan tanggungjawab menjaga daripada ibu bapanya kepada si suami dan yang dimaksudkan sebagai sayang tadi adalah berdasarkan kepada sentimen dia menyukai lelaki tadi dan bukannya kerana ingin mengambil risiko untuk membina sebuah kehidupan manusia dewasa.

Sebenarnya kes seumpama ini tidak mungkin terjadi sekiranya orang dewasa memahami bahawa kanak-kanak mempunyai dunianya sendiri dan kita orang dewasa pula mempunyai lingkungan kita yang lain.

Ibu bapa mungkin terpaksa mengahwinkan mereka kerana faktor ekonomi.

Bantuan

Bagaimanapun, ia hanya memindahkan masalah tadi kepada orang lain, sedangkan masalah sebenar tidak selesai.

Masalah utamanya ialah anak-anak tadi patut berada di alam persekolahan dan bukannya menjadi seorang isteri.

Jadi, yang patut dilakukan ialah meminta bantuan pihak berkuasa atau sesiapa sahaja yang mampu untuk menyekolahkan anak tersebut dan bukannya mengahwinkan mereka.

Memilih berkahwin dengan kanak-kanak walau apapun alasan sebenarnya tidak akan membantu mereka membina masa depan lebih baik.

Ia sebenarnya sedang menjerumuskan diri mereka dengan konflik orang dewasa yang sangat beragam, apatah lagi untuk menghadapi kehidupan bermadu.

Bayangkan jika suatu hari nanti sesuatu yang buruk terjadi dalam konflik rumah tangga, bagaimanakah kesudahan nasib kanak-kanak tersebut?

Pada waktu itu mereka juga mungkin sudah memiliki anak-anak kecil yang lain dan mungkin terpaksa mengulang semula kesilapan ibu bapanya yang mengahwinkan mereka pada usia muda.

Akhirnya, jika kita tidak memisahkan dunia anak-anak dan orang dewasa, cerita seumpama ini akan terus menjadi coretan yang menyedihkan kita semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN