KBS cadang rombak kepimpinan persatuan belia - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

KBS cadang rombak kepimpinan persatuan belia – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan bercadang melakukan rombakan besar-besaran terhadap kepimpinan semua persatuan belia tempatan, kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Rombakan itu bakal dibuat terutama bagi persatuan belia di semua peringkat termasuk daerah dan negeri yang mendapat dana daripada kerajaan.

Syed Saddiq berkata rombakan perlu dibuat bagi memastikan pucuk pimpinan persatuan berkenaan diterajui oleh belia yang masih dalam usia belia iaitu bawah 35 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu ini serius, kerana mereka yang mengetuai persatuan tidak mahu lepaskan jawatan walaupun umur mereka sudah melepasi usia belia.

“Hal ini menyebabkan anak muda yang benar-benar menjiwai golongan belia sukar untuk mendapat tempat dalam persatuan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Malaysia Social Media Week 2018 (MSMW) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Jelasnya lagi, menteri terdahulu pernah berhasrat untuk menurunkan takrif umur belia daripada 40 ke 30 tahun, namun mendapat tentangan hebat daripada golongan ‘belia’ ini.

Syed Saddiq berkata kementeriannya akan berbincang bagi menurunkan umur belia daripada 40 ke 30-35 tahun dan menyediakan satu pelan komprehensif tahun ini.

Mengenai MSMW 2018, beliau berharap sejajar dengan ledakan impak media sosial, setiap menteri dan ahli politik dapat berinteraksi dengan rakyat menggunakan platfom itu.

“Menteri harus bergiat aktif menggunakan platform media sosial supaya secara langsung dapat menjawab persoalan yang diajukan rakyat.
“Jika kita ada ruang untuk menjawabnya, kita jawablah sebaiknya walaupun soalan yang diajukan bersifat kritikan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN