Mayat Adam Rayqal ada kesan retakan pada tempurung dan pendarahan dalaman di kepala - Utusan Malaysia

Mayat Adam Rayqal ada kesan retakan pada tempurung dan pendarahan dalaman di kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Mayat bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditemui mati di dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor malam tadi menemui kesan retakan pada tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan dalaman bahagian sebelah kanan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penemuan tersebut adalah hasil bedah siasat dilakukan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur bermula pukul 9.45 pagi hingga 1 petang. 

Katanya, penemuan tersebut seterusnya menafikan keterangan awal suspek sebelum ini bahawa bayi tersebut tersedak susu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada bayi itu dipukul, dihempas atau terjatuh semasa berada dalam jagaan suspek. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong mangsa. 

“Setakat ini, tiada sebarang senjata ditemui berhubung kes itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebentar tadi. 

Beliau menambah, pada hari kejadian suspek didapati turut mengasuh dua lagi bayi namun telah diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Ujarnya, sehubungan itu siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk kemungkinan mangsa didera sebelum ditemui mati dan motif pembunuhan. 

Jelas beliau, siasatan awal mendapati suspek telah menjadi pengasuh sejak dua tahun lalu dengan mempromosikan perkhidmatannya menggunakan laman sosial Facebook. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN